Wednesday, 18 March 2015

Khasiat Madu Untuk Kecantikan Kulit Dan Rambut

Khasiat Madu Untuk Kecantikan Kulit Dan Rambut


Maksud firman Allah,
Dan Tuhanmu memberikan ilham kepada lebah, " Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian, makanlah segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu."
Dengan itu akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (daripada pelbagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir
Surah an-Nahl 16 : 68-69

Madu telah dikenali oleh manusia sejak berzaman dahulu sebagai ubat pelbagai penyakit. Walaupun dunia sekarang telah maju dan serba canggih dengan pelbagai jenis ubat yang canggih manggih, nama pun tak reti nak sebut tapi orang masih memilih madu. Khasiat dan manfaat bahan organik ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

Untuk entry ini saya ingin kongsikan manfaat madu untuk menyerlahkan kecantikan? Nak tahu tak?

Biar secanggih dan sehebat mana produk kecantikan yang berunsurkan madu, madu yang asli sudah tentu lebih mujarab kerana tidak melalui apa-apa proses kimia dan tiada bahan tambahan atau bahan pengawet. Maksud saya di sini bukanlah anda sendiri yang pergi panjat pokok, cari sarang lebah untuk dapatkan madu asli tu. Tidaklah sampai macam tu. Tapi kalau boleh cari madu asli yang biasanya tidak dijual di pasaraya kerana madu-madu itu biasanya mengandungi gula berlebihan.

Bagi anda yang mengalami masalah jerawat degil walaupun dah cuba banyak produk di pasaran, mungkin anda ingin mencuba madu asli untuk mengembalikan kecantikan anda. Sapukan madu pada tangan, kemudian usap perlahan-lahan pada wajah. Biarkan kira-kira 5 minit dan bersihkan dengan kain secara lembut. Anda pasti merasai perubahannya. Apatah lagi jika anda konsisten dalam aktikviti ini.

Terdapat banyak lagi manfaat madu untuk kecantikan. Antaranya :

Kulit

Madu berkesan untuk merawat kulit rosak dengan membina sel-sel kulit yang baru. Untuk mendapatkan kulit yang tegang, lembut dan lembap anda boleh mencampurkan sesudu madu dengan kulit sebiji limau kasturi atau dikenali juga dengan limau asam yang dikisar. Oleskan ke muka selama lebih kurang 5 minit untuk hasil yang memuaskan. Kemudian, cuci dengan air suam.

Untuk kulit yang kasar dan kusam juga tidak perlu pertikaikan madu yang sememangnya menjadi rahsia kecantikan sejak zaman dahulu lagi. Sapukan ke seluruh badan dengan urutan yang lembut. Amalkan secara rutin 2-3 kali seminggu dan hasilnya memang sangat membanggakan. Akan berlaku transformasi kepada kulit anda iaitu lebih sihat, mulus dan lembut.

Masalah kering bibir juga boleh diatasi dengan madu. Campurkan madu, minyak zaitun dan cocoa butter dan sapukan pada bibir. Sebenarnya anda juga boleh menggunakannya sebagai pelindung kulit daripada pancaran matahari. Tapi jangan terlebih madu, nanti meleleh pula.

Nyaman sangat kulit yang disapu madu


Rambut

Untuk mendapatkan rambut yang lembut berkilau, campurkan 1 sudu madu dan perahan limau nipis serta air suam. Selepas cuci rambut dengan syampu, olekan campuran tadi sambil mengurut lembut kulit kepala. Biarkan seketika dan bilas hingga bersih.

Untuk rambut gugur pun, boleh juga guna madu. Campurkan 1 sudu madu, satu sudu kecil serbuk kayu manis dan minyak zaitun. Sebelum mandu, sapukan pada kulit kepala anda sambil mengurut lembut. Biarkan selama 15 minit sebelum mandi dan bilas seperti biasa.
Kalau nak tahu, madu juga boleh digunakan sebagai pelembap (conditioner). . Campurkan setengah gelas madu dengan 1/4 cawan minyak zaitun. Sapukan ke seluruh rambut, tutup dengan tuala bersih dan biarkan seketika. Selepas kira-kira 20 minit, buka tuala, urut perlahan-lahan dan bilas. Keringkan secara semulajadi.

Sekali-sekala bolehlah tukar-tukar dengan conditioner yang dibeli di kedai. Bukan apa, takut tak rajin nak sediakan pula sebab saya rasa lebih baik guna campuran yang fresh daripada yang dah dicampur sedia.

Tubuh langsing

Dengan membekalkan nutrisi yang cukup untuk aktiviti harian, madu boleh  dikategorikan sebagai suplemen yang dapat membantu proses penurunan berat badan. Kandungan utama madu iaitu karbohidrat dan ini menjadikan saiz hidangan yang diambil boleh dikurangkan. Kandungan gula sebanyak 82.4% dalam bentuk glikogen secara tidak langsung dapat digunakan sebagai tenaga yang dibakar tanpa perlu diolah terlebih dahulu.

Untuk melancarkan pemakanan madu tersebut, anda boleh campurkan dengan sedikit air. Minum 3 kali sehari sebelum makan adalah lebih berkesan. Jadi, dalam hidangan anda, bolehlah dilebihkan sumber protein dan serat dan kurangkan karbohidrat dan makanan berlemak.

Bagaimana menyimpan madu

Madu perlu disimpan dengan baik supaya zat dan khasiatnya terpelihara dan untuk mengelakkannya tercemar dengan bakteria. Madu sepatutnya disimpan di tempat kering pada suhu bilik dengan penutupnya ditutup rapat dan jauh daripada pancaran terik matahari.

Diharap anda mendapat manfaat dengan pembacaan ini, tapi orang yang sebenar dapat manfaat tentulah orang yang mencuba tips untuk cantik dengan madu seperti diatas.

No comments:

Post a Comment